Monday, May 11, 2009

FAMA Import Dua Tan Metrik Cili Dari China Untuk Stabilkan Harga

 

ALOR STAR, 3 Dis (Bernama) -- FAMA negeri mengimport dua tan metrik cili merah jenis 'Minyak' dari China sebagai langkah menampung keperluan bahan masakan itu yang semakin berkurangan di pasaran akibat musim hujan.

Pengarahnya, Wan Abdullah Wan Chik berkata, langkah itu diambil memandangkan harga cili merah kini melambung melebihi 150 peratus daripada harga asal iaitu RM5 sekilogram pada bulan lepas.

"Buat peringkat permulaan kita mengimport dua tan metrik cili itu untuk dijual di semua pasar tani FAMA dengan harga RM9 sekilogram dan FAMA akan terus mengimport supaya cili itu dapat dijual di seluruh daerah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran menjual cili merah di Pasar Tani Mergong di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memudahkan peniaga dan pengguna mendapatkan cili merah itu, FAMA Alor Star dan Sungai Petani dipilih menjadi pusat pembekalan cili itu dan ia dijual secara runcit atau borong kepada orang ramai.

Beliau berkata, pembelian cili itu tidak dihadkan jumlahnya dan peniaga boleh mendapatkan bahan itu pada harga lebih murah.

-- BERNAMA

No comments: